Von Däniken juga berpendapat asal-usul agama purba berasaskan kepada pertembungan dengan makhluk asing ini. Menurut pandangan beliau, manusia menganggap teknologi-tekonologi makhluk asing ini sebagai sesuatu yang luarbiasa dan makhluk asing-makhluk asing tersebut dianggap sebagai tuhan.
Erich von Däniken membincangkan Ramayana dan Vimanas dalam bab 6 Chariots of the Gods, yang menunjukkan bahawa terdapat “kenderaan angkasa” yang digunakan oleh Rama.
Untuk menyokong teori beliau, beliau juga mengambil terjemahan dari 1889 Mahabhrata oleh C. Roy yang bermaksud “Bhima terbang dengan Vimana pada sinar yang sangat besar yang cemerlang seperti matahari dan membuat bunyi seperti guruh “.
Zecharia Sitchin pula dalam siri bukunya The Earth Chronicles, bermula dengan Planet ke-12 iaitu “Nibiru”. Tafsiran Sitchin berkisar pada teks Sumeria purba dan Timur Tengah, tapak megalitik, dan artifak dari seluruh dunia.
Menurut beliau tuhan-tuhan purba era Mesopotamia sebenarnya adalah angkasawan dari planet Nibiru. Sitchin mendakwa terdapat teks Sumeria yang merekodkan cerita 50 Anunnaki iaitu penduduk planet bernama Nibiru, yang datang ke Bumi kira-kira 400,000 tahun yang lalu dengan niat untuk menerokai perlombongan bahan mentah, terutamanya emas, untuk dihantar kembali ke Nibiru.
Robert KG Temple, dalam bukunya Misteri Sirius berhujah bahawa orang-orang Dogon di Sudan menyimpan rekod lawatan dari angkasa lepas dari sekitar 5000 tahun yang lalu. Beliau mengemukakan pelbagai bukti, termasuk pengetahuan astronomi maju yang diwarisi oleh suku kaum ini.


